08 August 2018

BENARKAH DAKWAAN KITAB-KITAB HADITH UNTUK PARA ULAMA SAHAJA?

Kitab hadith kutub sittah yang enam ( Sahih Bukhari, Muslim, Sunan Tirmizi, Abu Daud, Nasaie dan Ibnu Majah ) merupakan enam kitab teras rujukan utama didalam bidang hadith.

Disana, terdapat kitab-kitab hadith yang lain seperti Musnad Ahmad, Mustadrak al-Hakim, dan lain-lain.

Kitab-kitab rujukan ini merupakan kitab utama, rujukan buat umat Islam keseluruhannya.

Dakwaan yang mengatakan bahawa kitab-kitab ini untuk para ulama', ia ada benar dan salahnya.

Benar, kitab-kitab ini tidak boleh dibaca begitu sahaja oleh mereka yang tiada basic atau asas langsung didalam bidang hadith secara bersendiri kerana tidak boleh difahami secara tuntas.

Ini kerana isu muananah, tahdith, nama-nama para perawi, pengulangan hadith didalam kitab, isyarat secara majaz oleh penulis tentang kelemahan para perawi, tidak memberi manfaat buat orang awam. Ia hanya memberi manfaat buat penuntut ilmu, para ulama dan ahli hadith.

Ia bahkan mengelirukan dan memeningkan orang awam.

Sebab itu semasa Daurah Kitab Sunnah Ibnu Majah oleh Syeikh Salim baru-baru ini, kurang disentuh isu-isu perawi didalam Daurah.  Hanya meng"azu" dalam bahasa ilmu hadith atau menukilkan sahih dan dhaif daripada Syeikh Nasirudin al-Albani rahimahullah sahaja dan lebih menumpukan kepada huraian berdasarkan tajuk.

Ini kerana, orang alim yang faqih mengenal para pendengarnya dan akan memberikan apa yang terbaik untuk para pendengarnya.

Bagi orang awam, para ulama telah mengarang syarah-syarah atau huraian-huraian daripada kitab-kitab primer ini.

Seperti Riyadhus Salihin untuk bab hadith-hadith fadhail, Umdatul Ahkam, Bulughul Maram untuk hadith-hadith hukum hakam dan seumpamanya.

Jadi, untuk bacaan, boleh cari syarah-syarah kepada kitab-kitab yang disebutkan tadi.
.
.###

Tetapi, jikalau dimaksudkan kitab-kitab hadith tersebut tidak boleh dibaca, tidak boleh difahami dan perlu ditinggalkan serta berpada dengan kitab-kitab hadith yang sedia ada supaya orang awam mengikuti para asatizah secara membuta tuli tanpa dalil dan hujjah, ia adalah satu pandangan yang tertolak.

Begitu juga sekiranya dimaksudkan sedemikian " dakwaan kitab-kitab hadith ini untuk para ulama sahaja" dengan hasrat mematikan pengajian kitab-kitab hadith ini, kerana ditakuti terbongkar kejahilan pendakwa tersebut,  kerana tidak boleh membaca kitab arab, dsb maka ia satu malapetaka yang dahsyat buat umat ini.

Apa yang sepatutnya, diangkat pengajian-pengajian ilmu-ilmu hadith ini supaya masyarakat dapat mengetahui dalil dan hujjah mereka beramal dan melahirkan masyarakat yang intelektual dan berilmu.

Bukan dimatikan kerana malu yang akhirnya melahirkan masyarakat yang menjadikan agama sebagai halwa telinga dan manisan sahaja bila perlu.

Bukan jua melahirkan masyarakat yang inginkan penceramah yang majlisnya hanya banyak bergelak ketawa tanpa ilmu, penceramah yang berminat dengan tajuk-tajuk panas dan sensasi  sahaja ataupun masyarakat yang inginkan menghabiskan waktu senggang mereka semata.

Seolah-olah agama itu hanya bahan tempelan sahaja, bukan teras dan nadi didalam kehidupan seharian.


___________________________
~ Ustaz Huzaifah Hadis ~
Telegram:  https://t.me/rmb_slf
_____________________________


Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

No comments:

Post a Comment