HADITH: JANGAN GOPOH!


Semangat seorang pelajar ḥadīth untuk mengongsikan keḍa’ifan sesuatu ḥadīth dan keghairahannya berbuat demikian, tidak dapat dinafikan. Seringkali terfikir di ingatan kita bahawa, mempelajari ‘ilal, maka seseorang yang menjadi begitu kritis terhadap riwayat.

Ya, memang benar.

Selain kritis, ilmu ‘Ilal, bahkan ilmu Ḥadīth mengajar kita untuk berhati-hati dan mengkaji secara menyeluruh dan sempurna.
Ini merupakan catatan saya daripada perkataan Sh. al-Muḥaddith Muqbil b. Hādī al-Wad’ī رحمه الله di dalam buku beliau Aḥādith Mu’illah Żahiruha al-Ṣiḥḥaḥ, beliau menggariskan suatu “guideline” penting bagi sekalian penuntut, bahawa:

قد يكون الحديث معلا من طريق، وصحيحا من طريق آخر، أو من طرق
“Boleh jadi sesuatu ḥadīth itu cacat pada satu jalur, namun ianya ṣaḥīḥ melalui satu jalur yang lain; atau melalui jalur-jalur yang lain.”

Bagi tujuan memudahkan, kita bawakan satu contoh yang Sh. Muqbil sendiri bawakan di dalam kitabnya iaitu ḥadīth berkenaan pemakaian sutera {لبس الحرير}, yang diriwayatkan dengan sanad:

‘Imrān b. Ḥiṭṭān > ‘Abd Allāh b. ‘Umar > ‘Umar b. al-Khaṭṭāb

Analisis sanad:
‘Imrān b. Ḥiṭṭān merupakan rāwī yang terpercaya, kuat hafazannya lagi terpelihara, beliau merupakan antara rijāl dalam al-Ṣaḥīḥayn akan tetapi beliau dijarḥ oleh para nuqqād kerana pegangan beliau, iaitu Khawārij dan beliau mengajak manusia kepada bid’ahnya tersebut. Di sisi Sh. Muqbil, kekurangannya yang ini membolehkannya untuk dihukum tidak thiqah, dan dihukum sebagai perawi yang maṭrūḥ.

Maka sanad ini bermasalah secara zahirnya.

Namun, kandungan ḥadīth tersebut ṣaḥīh, dan telah thābit melalui jalur yang lain iaitu jalur sanad:

‘Abd Allāh mawlā Asmā’, Nāfi’, ‘Abd Allāh b. Dīnār, Sālim b. ‘Abd Allāh dan lain-lain > ‘Abd Allāh b. ‘Umar > ‘Umar b. al-Khaṭṭāb [sedemikian rupa]

Berkata Sh. Muqbil lagi menerangkan situasi ini:

فعلى هذا لا يجوز لطالب العلم أن يحكم على الحديث بالضعف بمجرد أن يراه في كتب العلل، فربما يكون صحيحا من طريق أخرى، أو صحيحا عن صحابي آخر، بل ربما يكون الحديث في ((مجمع الزوائد)) بسند ضعيف وهو في ((الصحيحين)) عن صحابي آخز
“Oleh yang demikian, tidak dibolehkan bagi seseorang penuntut ‘ilmu untuk menghukum sesuatu ḥadīth itu sebagai ḍa’īf melalui pembacaan terhadap buku-buku ‘Ilal semata-mata, kerana barangkali sesuatu ḥadīth yang terkandung di dalamnya itu ṣaḥīh menurut jalur yang lain, atau ṣaḥīḥ menerusi riwayat ṣaḥābah yang lain, bahkan terjadi juga ḥadīth di dalam Majma’ al-Zawā’id dengan sanad (jalur) yang ḍa’īf namun terdapat di dalam al-Ṣaḥīḥayn daripada (jalur riwayat) ṣaḥābah yang lain.”
Sh. Muqbil berkata lagi bahawa, orang yang mampu menghukum sesuatu ḥadīth itu ḍa’īf secara muṭlaq ialah para huffāż seperti Aḥmad b. Ḥanbal (w. 241H), ‘Alī b. al-Madīnī (w. 221H), Muḥammad b. Ismā’īl al-Bukhārī (w. 256H), Muslim b. Ḥajjāj al-Qushayrī (w. 261H), Abu Zur’ah al-Rāzī (w. 264H), Abū Hātim al-Rāzī (w. 277H) dan lain-lain, juga dalam kalangan yang mewarisi mereka seperti Abū al-Ḥasan ‘Alī b. ‘Umar al-Dāraquṭnī (w. 385H). Manakala dalam kalangan mutaakhkhirīn, antara ‘ulama yang mempunyai kemahiran dalam seni ini ialah Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī (w. 852H), seperti yang terzahir di dalam kitab beliau iaitu “al-Nukāt ‘alā Kitāb Ibn al-Ṣalāḥ“, dalam bab ḥadīth-ḥadīth yang ma’lūl dan cacat, beliau melakukan rihlah yang panjang untuk berhasil mendapat ilmu sedemikian rupa, dalam zaman keterlewatan tersebut.
Kata Sh. Muqbil lagi, kita janganlah tergesa-gesa melakukan suatu hukum, kerana terkadang kita yang tidak melihat hakikat seberapa banyak pun yang kita cari dan kaji, namun apabila ditanya tentang ḥadīth yang disisi kita ianya bermasalah, maka katakanlah:
قد بحثت فلم أجد لفلانا متابعا، فعلى هذا فحديث شآذ أو مرسل، والله أعلم
“Daku telah mengkaji, dan daku tidak menemui sebarang rawi yang menyokong perkara ini (riwayat yang mendukung), maka atas dasar itu, ḥadīth ini shāz atau mursal, wallāhu a’lam.”



___________________________
Abu Faruq Al-’Arifi ~
Telegram:  https://t.me/rmb_slf
_____________________________




Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

Comments