08 August 2018

JANGAN MENIRU KAUM KAFIR

Baginda Nabi S.A.W melarang orang Islam meniru orang kafir, dalam perkara yang khas dan menjadi identiti mereka.

Ini boleh dilihat di antara sabda Nabi S.A.W: 
“Bukan tergolong dari kalangan kami siapa yang menyerupai selain kami (iaitu orang kafir).”
[Hasan. Al-Tirmizi]

Dalam Hadith lain Nabi juga bersabda:
 “Barangsiapa menyerupai suatu kaum, maka dia tergolong daripada mereka.”
 [Sahih Ahmad]

Apabila Nabi mengatakan jangan tergolong daripada mereka, hukum dari perbuatan menyerupai orang kafir (dalam perkara yang khas dan menjadi identiti mereka), kalau tak jatuh dalam bid’ah ataupun kafir, yang paling kurang pun adalah jadi maksiat.

Sekiranya yang ditiru adalah urusan ibadah, ia boleh menyebabkan pelakunya jatuh kafir. Jika bukan ibadah, hukum minimumnya adalah maksiat.

Dalam hal ini kita boleh lihat bagaimana para Sahabat sedaya upaya agar umat Islam tidak terjebak dalam menyerupai orang kafir walaupun ianya bersifat urusan pentadbiran keduniaan.

Imam Ibnu Kathir ada mencatatkan bahawa cadangan agar tarikh kelahiran Nabi S.A.W dijadikan tarikh kiraan tahun Islam pernah dicadangkan kepada Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab R.A semasa beliau ingin mencari tarikh yang sesuai untuk dijadikan kalendar perkiraan tahun Islam.

Pada ketika itu perkiraan atau kalendar tahun Islam belum wujud lagi. Namun Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab R.A tidak menerimanya.

Hikmah di sebalik penolakan Umar bin al-Khattab R.A itu kerana beliau mempelajari dari Rasulullah S.A.W agar kita berbeza dengan Yahudi dan Kristian.

Orang Kristian menentukan tarikh berdasarkan kelahiran Nabi Isa bin Maryam A.S. Mereka berlebihan dalam memuji dan membesarkan baginda sehingga sampai ke peringkat ketuhanan.

Mereka kata: dia anak Allah, kadangkala “dia Allah” dan dia satu dari yang tiga.

Tujuan Umar bin al-Khattab R.A menolak cadangan itu agar orang Islam tidak terjatuh seperti orang Kristian dalam berlebihan memuji dan membesarkan baginda Nabi S.A.W.

Rasulullah S.A.W sendiri telah memberi amaran agar tidak berlebih-lebihan dalam memuji baginda.

Sabda baginda: 

“Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah: “Hamba Allah dan RasulNya”
 [al-Bukhari]. 

Maka Umar bin al-Khattab R.A tidak menjadikan tarikh kelahiran Nabi S.A.W sebagai permulaan kalendar Islam untuk mengelakkan generasi kemudian menyeleweng sama seperti dilakukan oleh orang Kristian.

Wallahualam.



___________________________
~ Zulkifli Egar ~
Telegram:  https://t.me/rmb_slf
_____________________________




Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

No comments:

Post a Comment