12 September 2018

SIAPAKAH SAHABAT RASULLAH SAW YANG NAMANYA DISEBUT DI DALAM AL-QURAN?


Sedarkah kita bahawa hanya Zaid bin Harithah R.A satu-satunya sahabat Nabi yang disebut secara khusus namanya dalam al-Quran pada surah al-Ahzab.

Mengapa nama Zaid bin Harithah R.A disebut manakala nama para sahabat lain tidak pula disebut?

Terlebih dahulu mari kita mengenali siapakah gerangan Zaid bin Harithah R.A ini.

Beliau adalah anak angkat Rasulullah S.A.W yang sangat baginda sayangi. Asalnya beliau adalah hamba abdi yang dihadiahkan oleh Khadijah binti Khuwailid R.A, isteri Nabi sendiri kepada baginda Nabi S.A.W.

Sebelum itu semasa Zaid bin Harithah R.A ini masih kecil, beliau pernah diculik oleh sekumpulan penyamun dalam perjalanan pulang ke penempatan kabilahnya.

Lalu beliau kemudiannya telah dijual di pasar Ukaz sebagai hamba dan dibeli oleh pembesar Quraisy iaitu Hakim bin Hizam bin Khuwailid. Hakim kemudiannya menghadiahkan Zaid bin Harithah R.A ini kepada ibu saudaranya iaitu Khadijah binti Khuwailid R.A.

Keakraban Zaid bin Harithah R.A dengan Nabi begitu terserlah sehingga orang Mekah menamakannya dengan nama Zaid bin Muhammad sehinggalah turunnya surah al-Ahzab ayat ke-5 yang melarang menasabkan nama anak angkat kepada bapa angkat.

Selepas Zaid bin Harithah R.A hilang. Ibu bapa Zaid bin Harithah R.A pernah cuba mencari beliau. Akhinya bila mengetahui lokasinya, ibubapa Zaid bin Harithah R.A terus mengumpulkan sejumlah harta dan pergi ke Mekah untuk menebus Zaid dari Rasulullah S.A.W.

Tetapi baginda Rasulullah S.A.W telah memberikan tawaran yang luar biasa kepada keluarga Zaid dimana baginda menyerahkan keputusan kepada Zaid bin Harithah R.A sama ada beliau ingin kembali kepada keluarganya atau kekal bersama baginda.

Sekiranya Zaid bin Harithah R.A memilih untuk kembali kepada keluarganya, baginda Rasulullah S.A.W sedia menyerahkan Zaid begitu sahaja tanpa sebarang tebusan.

Setelah pilihan dibuat, Zaid bin Harithah R.A memilih untuk tetap tinggal bersama Rasulullah S.A.W dan tindakannya itu menghairankan kedua ibu bapanya kerana  Zaid bin Harithah R.A memilih menjadi hamba berbanding memilih kebebasan dan keluarganya.

Tapi Zaid bin Harithah R.A ada sebab tersendiri mengapa membuat pilihan itu.

Kerana bagi Zaid, beliau telah melihat sesuatu yang cukup istimewa yang ada pada baginda Nabi S.A.W sehingga menyebabkan beliau tidak akan memilih orang lain pun selain baginda.

Selepas mendapat jawapan daripada Zaid yang memilih untuk tetap tinggal bersama baginda. Lantas Rasulullah S.A.W membawa Zaid keluar berhampiran dengan Hajar al-Aswad seraya berkata:

“Aku menjadikan kamu semua saksi bahawa Zaid ini (aku anggap) adalah anakku, dia akan mewarisi dariku dan aku juga akan mewarisi darinya”.

Apabila melihat keadaan itu, keluarga Zaid bin Harithah R.A berasa tenteram dan pulang ke kampung halaman mereka.

Baginda Nabi S.A.W turut mengahwinkan Zaid bin Harithah R.A ini dengan Ummu Ayman R.A iaitu pengasuh baginda sendiri, juga orang yang baginda sayangi.

Ummu Ayman R.A kemudiannya melahirkan Usamah bin Zaid R.A yang kita tahu amat disayangi oleh baginda Nabi S.A.W sehingga digelar sebagai al-Hibb Ibn al-Hibb (yang amat dikasihi anak lelaki kepada yang amat dikasihi).

Akhir hayat Zaid bin Harithah R.A, beliau telah dilantik oleh Nabi sebagai ketua panglima perang untuk berjuang menentang tentera Rom Byzantine dalam peperangan yang dikenali sebagai Perang Mu'tah yang akhirnya beliau mati syahid di sana.

Berbalik kepada mengapa nama Zaid bin Harithah R.A ada disebut dalam al-Quran.

Setelah turunnya ayat melarang menukar nama bapa asal, nama Zaid bin Muhammad kemudiannya ditukar kepada Zaid bin Harithah.

Firman Allah S.W.T:

"Panggilah anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa mereka sendiri; Cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara kamu yang seugama dan sebagai "maula" kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
 [al-Ahzab:5].

Diriwayatkan, penukaran nama Zaid kepada nama bapa asalnya sejurus turunnya ayat di atas sedikit sebanyak menyedihkan Zaid bin Harithah R.A.

Beliau sedih kerana sudah hilang penghormatan yang hebat iaitu di-bin dan dinasabkan terus kepada baginda Nabi S.A.W.

Bagi menggantikan kehilangan itu, Allah S.W.T telah merekodkan namanya secara khusus dalam surah al-Ahzab ayat ke-37.

Ini berikutan apabila beliau telah berkahwin dengan seorang wanita yang bernama Zainab binti Jahsy R.A.

Setelah hidup beberapa tahun, mereka berdua bercerai sebab tiada kesefahaman dan kemudiannya Rasulullah S.A.W mengahwini Zainab binti Jahsy R.A untuk menghapuskan amalan tradisi Arab Jahiliyah.

Firman Allah:
"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: "Jangan ceraikan isterimu (Zainab) itu dan bertaqwalah kepada Allah", sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan nyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah lebih patut engkau takuti (melanggar perintah-Nya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri anak angkat mereka, apabila anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku 
[al-Ahzab:37].

Berkenaan ayat ini. Sebenarnya Nabi sudah tahu sejak dari awal lagi yang baginda akan dikahwinkan dengan Zainab bin Jahsy R.A sebagai cara nak batalkan budaya jahiliah yang menganggap anak angkat macam anak sendiri.  

Nabi risau akan celaan manusia yang akan kata Nabi sanggup kahwini bekas isteri anak angkatnya. Kerisauan Nabi itu adalah perkara biasa kerana baginda juga manusia biasa yang ada perasaan.

Bahkan Zaid sendiri yang disuruh oleh Nabi untuk pergi meminang Zainab.

Berikutan kisah inilah, nama Zaid bin Harithah tercatat di dalam al-Quran bahkan beliau adalah satu-satunya sahabat Nabi yang pernah “di-bin atau dinasabkan” kepada baginda Rasulullah S.A.W sebagai Zaid bin Muhammad setelah beliau diambil sebagai anak angkat semasa di Mekah.

Kini nama Zaid telah menjadi salah satu perkataan di dalam al-Quran dan nama itu akan tetap terus kekal dituturkan oleh semua makhluk (para malaikat, manusia dan jin yang beriman) yang membaca al-Quran sehingga kiamat. 

Wallahulam.


___________________________
~ Zulfikar Egar ~
Telegram:  https://t.me/rmb_slf
_____________________________


Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

No comments:

Post a Comment