08 September 2018

TAFSIR: TIADA PAKSAAN DALAM AGAMA


Firman Allah ﷻ di dalam al-Quran:

لآ إكراه في الدّين، قد تّبيّن الرّشد من الغيّ، فمن يكفر بالطّاغوت ويؤمن بالله فقد استمسك بالعروة الوثقى لانفصام لها والله سميع عليم.
"Tiada paksaan dalam (menerima) agama Islam, telah jelas  petunjuk itu berbanding kesesatan. Barangsiapa yang kufur kepada Taghut (sembahan selain Allah ﷻ) dan beriman kepada Allah ﷻ maka dia telah berpegang erat pada tali yang teguh lagi kukuh tiada kerapuhan baginya, dan Allah ﷻ maha Mendengar (percakapan & permohonan hamba-Nya) lagi maha Mengetahui (segenap sesuatu secara terperinci)."
 (al-Baqarah: 256)

Pada ayat ini terdapat beberapa faedah:

1. Tiada paksaan bagi mana-mana individu/kelompok untuk masuk ke dalam agama Islam; mereka berhak mendapat hak keberagamaan namun dalam kapasiti yang diberi di dalam keta'atan mereka terhadap kekuasaan kaum Muslimin. Tiada paksaan dalam keberagamaan, adapun ta'at kepada kekuasaan Muslim dan autoriti Islam maka wajib. Firman Allah ﷻ:

حتّى يعطوا الجزية عن يد وهم صاغرون.
"Hinga mereka (kaum kuffar harbi yang diperangi) memberi jizyah (cukai perlindungan & keselamatan di bawah kepimpinan Muslim bagi menjamin kebebasan beragama & keselamatan sebagai warganegara Islam) daripada tangan mereka secara terus (kepada kalian) dalam keadaan mereka rendah (kalah dalam peperangan & berserah diri)." (at-Tawbah: 29)

2. Tidak ada kebebasan beragama & pengamalan sistem secara mutlak. Ayat ini tidak berbicara soal kebebasan beragama secara mutlak sekalipun sighah (bentuk literatur) ayat ini menunjukkan sedemikian. Ia menyatakan bahawa petunjuk & kebenaran itu amat jelas dan kuat, di sisi akal & hati nurani manusia untuk mereka menerimanya dan mempercayainya dengan iman. Tidak ada unsur paksaan dalam seseorang itu percaya pada hakikat kerana fitrahnya manusia sukakan kebenaran dan percaya pada logika & fitrah.

3. Dua rukun kalimah tawhid, iaitu penafian (النّفي) & penetapan (الإثبات), iaitu kewajiban kufur kepada Taghut (sembahan yang disembah atau dita'ati selain Allah ﷻ) seiring dengan keimanan kepada-Nya sebagai syarat sahnya tawhid & ucapan kalimah tawhid seseorang.

4. Dasar yang paling kukuh ialah tali yang paling kukuh (العروة الوثقى) yang disebut oleh Tuhan sendiri iaitu 'aqidah yang benar, agama tawhid iaitu Islam. Bukan selainnya seperti dasar kemanusiaan (humanism) yang dicanangkan oleh mulhidin (kelompok yang menyeleweng). Humanism menuntut penafian terhadap theism (kepercayaan & agama) dan apa-apa autoriti supernatural beliefs (kewujudan entiti yang agung di sebalik wujud yang nyata), ia menuntut pluralisme dalam idea/teologi. Agama tawhid sama sekali kontra dengan prinsip Iblis ini.

5. Menetapkan sifat Mendengar bagi Allah ﷻ, Dia mendengar setiap percakapan hamba-Nya serta bisik hati, atau yang diniatkan seseorang untuk diperkatakan. Dia juga maha Mendengar setiap permohonan hamba-Nya, kemudian dinilai sesuai kemaslahatan mereka.

6. Menetapkan sifat Mengetahui segala sesuatu bagi Allah ﷻ, Dia maha Mengetahui setiap sesuatu di dalam alam ciptaan-Nya secara terperinci tanpa terkecuali, membangkang kelompok mulhid seperti Shi'ah Rafidah yang menyatakan Allah ﷻ bersifat al-Bada'ah (tahu selepas sesuatu berlaku), juga kelompok Faylasuf yang menyatakan Allah ﷻ tidak mengetahui sesuatu secara kulli namun secara juz'i sahaja akan kejadian sesuatu tersebut.

Kesimpulan:
Ayat ini ialah penjelasan lanjut terhadap kalimah tawhid. Seseorang itu sesat kerana tidak memahami kalimah tawhid, tuntutan tawhid ke atas dirinya, serta tidak mentadabbur al-Qur'an.


___________________________
Abu Faruq Al-’Arifi ~
Telegram:  https://t.me/rmb_slf
_____________________________



Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

No comments:

Post a Comment