09 October 2018

MENJAWAB HUJAH YANG MEMBENARKAN KAUM KAFIR MENGADAKAN PESTA ARAK

Terbaca tulisan seorang rakan bertajuk "Berkenaan Pesta Arak". Daripada kata-kata Hasan al-Basri yang dinukilkannya, difahami bahawa beliau mahu mengatakan bukan Islam boleh mengadakan pesta arak.

Athar tersebut berbunyi, "sesungguhnya mereka membayar jizyah agar mereka dibiarkan bebas mengamalkan apa yang mereka percaya. Engkau ('Umar b. 'Abd al-'Aziz) hanya perlu mengikut, bukan membuat hukum baru."

Saya tidak sempat menyemak sanad athar yang dipetiknya daripada kitab Huquq Ahl al-Dhimmah oleh Syeikh Abu al-A'la al-Mawdudi itu. Cuma, saya ingin mengatakan saya tidak bersetuju dengan kesimpulan yang dibuat kerana:

Pertama, dalam athar itu sendiri jelas kebebasan yang diberikan kepada kafir zimmi itu diikat dengan jizyah yang dikenakan ke atas mereka. Persoalannya, adakah kafir zimmi pada hari ini dikenakan jizyah sampai diberikan hak untuk "dibiarkan bebas mengamalkan apa yang mereka percaya"?

Kedua, kebebasan yang diberikan tidak lebih daripada untuk memiliki dan meminum arak. Ia sama seperti khinzir. Mereka dibenarkan menternak dan memakan khinzir, tetapi itu tidak bermakna mereka boleh menternak di kawasan berhampiran dengan orang Islam. Begitu juga walaupun mereka dibenarkan mengamalkan agama Kristian, tidak bermakna mereka boleh menzahirkan salib sesuka hati mereka.

Dalam athar yang diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dalam al-Sunan al-Kubra dengan sanad yang sekurang-kurangnya jayyid disebutkan bahawa 'Umar b. al-Khattab RA menulis surat kepda Haram b. Mu'awiyah. Katanya:

"Hendaklah kamu menjinakkan kuda, janganlah kamu membiarkan salib diangkat di kalangan kamu, atau membiarkan khinzir ada berhampiran kamu."

Dalam athar lain yang mempunyai dua sanad - satunya da'if jiddan dan satunya rawi mubham dan munqati' - disebutkan perjanjian kafir zimmi dengan 'Umar b. al-Khattab RA seperti berikut:

"... Kami tidak boleh menzahirkan salib kami di atasnya (gereja)... Kami tidak boleh membiarkan khinzir berhampiran mereka (orang Islam), kami tidak boleh menjual arak..."

Wallahualam.



___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Telegram:  https://t.me/rmb_slf
_____________________________






Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .


No comments:

Post a Comment