Istilah Melayu Ialah Kalimah Al-Quran? (Jawapan Dari Sudut Agama Dan Sudut Sejarah)

OLEH: Gabungan Lajnah RMB


Abdullah Izzat
Lajnah Makalah Agama 

Perkataan al-Malā’ al-A‘lā di dalam al-Qur’ān merujuk kepada nama melayu? . Apakah pandangan para ulama salaf terhadap perkataan ini?

Baru-baru ini timbul satu polemik di mana ada seorang ustaz yang mengatakan bahawa perkataan “Melayu” itu diambil dari potongan ayat al-Qur’ān “al-Mala’u” ini. Setelah itu beliau menjelaskan sejarahnya lalu menyimpulkan bahawa hikmah perkataan “Melayu” ini berasal daripada sebuah perkataan daripada al-Qur’ān adalah bahawa bangsa Melayu ini sangat berkait rapat dengan agama Islām.

Mula-mula, mari kita lihat apakah tafsiran para ulama salaf tentang perkataan al-Malā’ al-A‘lā ini. Imām al-Ṭabarī di dalam kitabnya Jāmi‘ al-Bayān ‘an Ta’wīl Āy al-Qur’ān atau lebih dikenali sebagai Tafsīr al-Ṭabarī (20/142) membawakan pandangan ibn ‘Abbās dan Qatādah ketika mentafsirkan perkataan al-Malā’ al-A‘lā ini. Ibn ‘Abbās dan Qatādah kedua-duanya mentafsirkan bahawa maksud perkataan al-Malā’ al-A‘lā ini ialah “para malaikat”.

Setelah itu, mari kita lihat adakah benar perkataan “Melayu” itu datang daripada perkataan al-Malā’ al-A‘lā ini dari segi sejarahnya? Menurut kitab Sulālat al-Ṣalāṭīn, perkataan “Melayu” dari sudut etimologi berasal daripada Sungai Melayu di Sumatera. Malah istilah tersebut itu turut dianggap berasal daripada perkataan “melaju” untuk menyifatkan arus sungai yang laju itu. Saya lihat tak ada kaitan pun dengan Sultan Muzzafar Shah atau seumpamanya. Wa-Llāhu A‘lam, saya tak tahu sangat tentang sejarah Melayu ini. 

Persoalannya, adakah kita boleh sewenang-wenangnya menisbatkan sesuatu perkara kepada al-Qur’ān? Saya khuatir jika ustaz ini mengaitkan perkataan “Melayu” dengan perkataan al-Malā’ al-A‘lā ini, seolah-olah “Melayu” itu berasal daripada malaikat pula, dan malaikat itu Melayu.

Saya nasihatkan agar perkataan-perkataan di dalam al-Qur’ān hendaklah dirujuk tafsirannya daripada tafsiran para salaf. Rujuklah tafsir yang muktabar sahaja, tak perlu nak memandai dalam mengeluarkan tafsiran baru daripada al-Qur’ān. 



Ibnu Tuzah
Lajnah Makalah Sejarah

Nama Melayu diambil dari ayat Al-Quran?

1. Ini hanyalah isu sejarah. Maka saya tak kisah sangat berbeza pendapat dalam isu ini dengan Ustaz Husam (walaupun banyak perbezaan kami di dalam sudut agama).

2. Dakwaan lisan ini perlukan bukti. Semoga pendakwa boleh bawakan bukti, insyaallah.

3. Saya boleh juga bawa hujah 'india' diambil dari istilah ayat Al-Quran 'fiddunia' sampai dekat selatan Bombay, ditukar nama jadi 'India'. Sebab itu saya tak setuju dengan hujah ini jika tidak berbukti.

4. Apapun, benar Melayu itu harus Islam. Kesepakatan Melayu ialah kesepakatan Islam juga benar. Kalaulah Melayu boleh bersama-sama menjaga bangsa ini tanpa sempadan politik, pastilah Islam di dalam negara ini tidak dijentik-jentik oleh kafir.

5. Saya mengambil keputusan untuk berbeza pendapat dengan pedakwa ini. Ingat, ada banyak lagi versi pendapat tentang 'asal nama Melayu' yg perlu kita teliti.

Ingat, dahulu pernah jadi isu istilah UMNO ialah dari ayat Al-Quran "innal lazi na amanu"... Kita tak mahu konsep ini diteruskan lagi pada 2018 dan seterusnya. Sebab kalau begitu, Jin pun boleh claim sebab Jin ada surah tersendiri dalam Al-Quran.

6. Antara teori ilmiah tentang asal nama 'Melayu' ialah daripada nama 'Sungai Melayu'. Ini sebagaimana yang tertulis di dalam Sejarah Jambi. Istilah Melayu pernah dicatatkan oleh pengembara Cina pada 644-645 masihi. Para sejarawan bersepakat bahawa perkataan 'Mo-Lo-Yu' di dalam  catatan tersebut ialah nisbah kepada kerajaan Jambi dan Sriwijaya.

7. Kerajaan Perlak menerima Islam pun pada abad ke-8 masihi. Kerajaan Pasai menerima Islam pada abad ke 12 masihi. Sementara Islam mulai kukuh di Nusantara ialah sekitar abad ke-15 masihi. Pendakwah Arab yang paling awal diketahui pula ialah pada tahun 684 masihi.

8. Sedangkan catatan perkataan Melayu di dalam catatan Cina pula lebih awal kewujudannya berbanding kedatangan Islam ke Nusantara itu sendiri. Malah bukti artifak Islam di Nusantara yang terawal juga hanya lah seawal abad ke-11 masihi (Batu Nisan Champar). Ada ahli sejarah berpendapat, kedatangan Islam yang terawal ke Nusantara ialah oleh pendakwah Arab pada abad ke-7.

9. Jika istilah Melayu itu wujud sebelum kedatangan Islam, bagaimana mungkin istilah Melayu itu diambil dari "Al Mala Al A'la" (Ayat Al-Quran). Ini ialah kontradik tarikh sejarah.

10. Maka jelas bahawa istilah Melayu tidak lah diilhamkan dari kalimah ayat Al-Quran. Namun, bersyukur kehadrat Allah kerana memilih kita, sebagai bangsa yang menerima hidayahNya. Wallahualam.


Sila rujuk:
1. al-Ṭabarī, Muḥammad ibn Jarīr, Jāmi‘ al-Bayān ‘an Ta’wīl Āy al-Qur’ān (25 jilid), taḥqīq: ‘Abd Allāh bin ‘Abd al-Muḥsin al-Turkī. Cetakan pertama. al-Qāhirah: Dār al-Hajr, 2001M/1422H.
2. Abdul Rashid Melebek, Amat Juhari Moain, Sejarah Bahasa Melayu. Utusan Publications & Distributions, 2006M.
3. Nik Safiah Karim dan Wan Malini Ahmad. Bahasa Melayu STPM (2006), edisi pertama, m.s. 3-5. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. ISBN 978-967-65-9617-8



___________________________
Abdullah Izzat (Lajnah Makalah Agama)
Ibnu Tuzah (Lajnah Makalah Sejarah)
Telegram:  https://t.me/rmb_slf
_____________________________




Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .


Comments